Perlawanan tersebut juga dicemari dengan dua layangan kad merah yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa menutup saingan dengan 10 pemain.

Kesilapan sendiri pertahanan Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim menghukum tuan rumah seawal minit ketujuh apabila dia tertolak bola ke gawang sendiri ketika cuba melakukan hantaran kepada penjaga gol, Faridzuen Kamaruddin.

Jaringan itu bagaimanapun tidak menjejaskan semangat skuad The City Boys yang berjaya menebus kesilapan dengan bangkit meledak gol penyamaan pada minit ke-22 selepas penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin memanfaatkan kesilapan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim yang gagal menangkap kemas sepakan bola mati Paulo Josue.

Skuad Bos Gaurus bimbingan Mehmet Durakovic kembali di depan apabila Leandro Dos Santos menyempurnakan sepakan penalti enam minit kemudian selepas Zaiful menjatuhkan Gilmar Da Silva.

Begitupun, Kuala Lumpur juga tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti Guilherme de Paula pada minit ke-36 berpunca kesilapan pertahanan Perak, Idris Ahmad menjatuhkan penyerang dari Brazil itu.

Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pada minit ke-57 pemain selepas pemain import dari Filipina, Luke Woodland dilayangkan kad merah kerana melakukan provokasi terhadap Shahrel Fikri selepas menjatuhkan penyerang Perak tersebut.

Bagaimanapun, tujuh minit kemudian giliran Perak beraksi dengan 10 pemain selepas bek kiri, Nazirul Naim Che Hashim diarah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua selepas mengasari De Paula.

Memasuki minit ke-65, Kuala Lumpur berada di depan hasil sepakan bebas Josue yang gagal diselamatkan Hafizul, namun ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada tuan rumah, penyerang Perak, Nor Hakim Hassan menyamakan kedudukan pada minit ke-86.

Kali terakhir Perak melakar kemenangan pada 9 Mac lalu setelah menewaskan PJ City FC 1-0 di laman sendiri. - UTUSAN ONLINE