Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Simunic, 62, dipilih berdasarkan beberapa kelebihan terutama kerana sudah me­ngenali sebahagian besar pemain Perak.

Menurutnya, Simunic menjadi pilihan utama Jawatankuasa Pe­ngurusan Liga Super Perak yang bermesyuarat semalam walaupun terdapat beberapa jurulatih dalam dan luar negara yang secara tidak rasmi menawarkan khidmat untuk membimbing Bos Gaurus.

Katanya, untuk itu tidak timbul isu Pafa ‘menjilat ludah sendiri’ setelah mengetepikan Simunic daripada jawatannya sebagai jurulatih Perak ketika pra-musim ini, namun kemudiannya digantikan dengan Datuk M. Karathu.

“Kami tidak pernah membuang dia. Di peringkat awal dulu, memang ada masalah dengan dia. Tetapi kami memikirkan yang positif dan tidak mahu ambil cerita lama.

“Lagipun pada pengamatan saya, sepanjang dia diamanahkan mengendalikan Akademi Bola Sepak Perak, kita sudah nampak program yang dia susun apatah lagi dia sendiri menyuarakan hasrat untuk diberikan peluang mengendalikan pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Perak dilanda masalah kemerosotan prestasi yang buruk dalam saingan Liga Super sehingga me­nyaksikan Karathu disingkirkan dan tugasnya diambil alih sementara oleh pengendali musim lalu, Abu Bakar Fadzim dalam empat perlawanan terakhir.

Di bawah kendalian Abu Bakar, Perak kalah tiga perlawanan dan seri satu.

Masalah yang melanda pasukan Perak turut menarik perhatian Menteri Besar,Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang merupakan Penaung Pafa apabila meminta pasukan negeri itu dirombak besar-besaran.