Antara tonggak utama yang tidak dapat diturun­kan adalah Nasir Basaruddin, Nazirul Naim Che Hashim, Elias (import brazil), D.Kenny Pallraj, Nurridzuan Abu Hassan dan beberapa lagi yang menjangka hanya 16 pemain sahaja 100 peratus disahkan cergas sepenuhnya.

Jurulatih Perak, Syamsul Saad bagaimanapun tidak mahu masalah kecederaan itu bakal menghantui persembahan skuad Bos Gaurus pada malam ini malah dia tekad untuk tetap memberi ancaman kepada pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal yang pastinya mahu bangkit daripada kekecewaan dalam liga, sekali gus menjadikan perlawanan malam ini pasti sukar.

Tambahnya kekalahan tipis 0-1 kepada juara Piala Malaysia, Selangor dalam aksi Liga Super telah dilupakan oleh semua pemain yang kini hanya memberi tumpuan penuh kepada kempen Piala FA.

“Ini perlawanan kalah mati...pasti kedua-dua pasukan mahu menang tetapi pastinya bermain di laman sendiri menjadi kelebihan kepada kami namun pasukan mana yang mampu menjaringkan gol dan beraksi baik pasukan itu akan menang.

“Semua pemain telah melupakan kekalahan dengan Selangor dan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi esok (malam ini). Saya juga telah melihat apa yang perlu diperbaiki dan dimantapkan lagi menerusi aksi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Pulau Pinang yang masih segar dengan kejayaan membenam Pahang 4-1 dijangka akan meneruskan rentak cemerlang itu apabila berdepan Kuantan FA di Stadium Bandaraya dan pemain yang menjadi tumpuan ketika ini Faiz bertekad untuk membantu pasukannya mara ke peringkat seterusnya.

“Saya akan beri yang terbaik dan bantu pasukan mara ke peringkat seterusnya. Insentif yang diterima Khamis lalu juga menjadi pembakar semangat saya untuk terus memberi sumbangan kepada pasukan dalam perlawanan akan datang.

“Tiada apa yang berubah dalam diri saya walaupun kini menjadi perhatian. Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan permainan dan dalam setiap perlawanan saya akan cuba beri yang terbaik serta melaksanakan tugas yang diberi oleh jurulatih,” jelas pemain yang mendapat perhatian dunia kerana jaringan ajaibnya ketika pasukannya menumpaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super Selasa lalu.

Dalam pada itu, Felda United dijangka mudah menundukkan pasukan dari Piala FAM, PB Ipoh di laman sendiri manakala Sabah juga pastinya mahu bangkit di laman sendiri selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana apabila melayan kunjungan MOF FC.

Dua perlawanan lagi membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkunjung ke Stadium Darul Makmur bertemu Shahzan Muda manakala Negeri Sembilan juga bertandang ke tempat lawan menentang Sungai Ara FC.

Undian pusingan ketiga akan dibuat malam ini selepas tamat semua perlawanan pusingan kedua Piala FA.