Tampil sebagai juara bertahan, Perak bermula garang apabila pemain sayap kanan, Muhammad Amirul Waie Yaacob hampir mele­takkan pasukannya di depan seawal minit kelima, namun percubaan itu sekadar menggegar palang gol pasukan The Young Vipers.

Asakan bertali arus skuad kendalian Abu Bakar Fadzim akhir­nya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-18 apabila pe­nyerang, Harris Roslee bijak menyudahkan hantaran rakan sepasukannya, Mohamad Ezanie Mat Salleh untuk meletakkan Pe­rak mendahului.

Hanya enam minit babak kedua bersambung, giliran Muhammad Aiedil Shafiq Aznan melebarkan jurang apabila rembatannya dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol WP, Kalamullah Alhafiz Mat Rowi buat kali kedua.

Ini adalah emas bola sepak ketiga buat Perak dalam sejarah Sukma selepas muncul juara 2002 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang diikuti mengalahkan Johor 3-1 di Perlis, dua tahun lalu.

Bagaimanapun skuad muda The Bos Gaurus gagal meraih emas pada 2012 di Pahang selepas tewas 0-3 kepada Sabah.

Abu Bakar nyata gembira de­ngan kejayaan yang diraih anak di­diknya apabila berjaya mencapai misi yang disasarkan.

Malah, bekas pemain Perak itu turut memuji persembahan mantap yang dipamerkan pemain dalam aksi final.

“Alhamdullilah misi kita di sini untuk mengekalkan kejuaraan berjaya dicapai dan saya gembira dengan kesungguhan yang dipamer pemain malam ini.

“Walaupun pemain ini hanya dikumpulkan dalam masa sebulan untuk menjalani latihan bersama dan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan, namun mereka berjaya
mempamerkan kematangan,” kata­nya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan di sini hari ini.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Sabah yang menewaskan Pahang 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 90 minit waktu perlawanan sebenar.