Katanya, terdapat dua atau tiga peluang terhidang pada babak kedua yang sepatutnya boleh menjadi gol namun gagal dimanfaatkan The Bos Gaurus sekalipun mereka menguasai hampir ke­seluruhan permainan.

“Secara jujur, Selangor tampak macam kurang melawan. Kemungkinan kami boleh menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa kedua.

“Namun, saya puji komitmen dan semangat juang pemain. Mereka menonjolkan permainan terbaik pada separuh masa pertama dan kemenangan menentang Selangor dengan tiga jaringan adalah perkara yang menakjubkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Perak yang beraksi di hadapan lebih 7,000 penyokong sendiri menewaskan Selangor 3-0 bermula dengan jaringan sendiri pemain pertahanan Selangor, Ashmawi Yakin pada minit ke-20, sebelum D. Kenny Pallraj dan penyerang dari Brazil, Gilmar Da Silva menambah jaringan Perak, masing-masing pada minit ke-36 dan 46.

Durakovic berharap anak buahnya akan mengekalkan persembahan seumpama itu untuk perlawanan akan datang khususnya dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Pulau Pinang di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 17 Mac ini.

“Kami ada dua hari untuk berehat, selepas itu pemain akan kembali berlatih untuk beri tumpuan perlawanan dengan Pulau Pinang dan kami harap momentum kemenangan ini akan dite­ruskan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Sela­ngor, P. Maniam berkata kelekaan anak buahnya pada babak pertama perlawanan menjadi punca kekalahan pasukannya.

Walaupun ada perubahan pada babak kedua, ketumpulan barisan serangan menyebabkan mereka gagal membolosi gawang Perak, katanya.