Perak merupakan juara bertahan dua edisi berturut-turut sejak 2014 bagaimanapun jurulatih berusia 41 tahun itu memberitahu anak-anak buahnya tidak berasa sebarang tekanan untuk menghadapi Wilayah Persekutuan dalam peringkat suku akhir Sukma 2018.

“Apabila kami mengesahkan tiket ke suku akhir saya lihat pemain begitu ceria dan semangat mereka semakin membara untuk mempertahankan pingat emas.

“Bermain di laman sendiri memang memberi kelebihan kepada kami apabila penyokong hadir memberikan sokongan. Saya tidak nampak tekanan dalam kalangan pemain kerana mereka semua berada dalam keadaan ceria,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perak mara ke suku akhir Sukma 2018 selepas menduduki tangga teratas Kumpulan A selepas mencatat satu kemenangan dan dua seri.

Dalam pada itu, bekas pertahanan Perak itu memberitahu pasukannya bebas daripada kecederaan bagaimanapun dia tidak dapat menurunkan pertahanan, Muhamad Farid Nezal.

“Farid tidak boleh bermain sebab dia digantung perlawanan setelah mengutip dua kad kuning. Namun, tidak mengapa kerana pemain utama yang lain masih lagi boleh beraksi,” katanya lagi.