Skuad Bos Gaurus menghuni kedudukan kedua dengan 27 mata selepas perlawanan ke-15 itu apabila Brendan Gan dan Leandro Dos Santos, masing-masing meledak gol pada minit ke-55 dan 84.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu FC berjaya membalas dendam pada perlawanan terdahulu apabila mengatasi PKNP FC 2-1.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-67 menerusi kapten Tchetche Kipre sebelum tandukan Lee Tuck menggandakan jaringan buat skuad Penyu tiga minit berselang.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNP kembali bangkit merapatkan jurang menerusi Kim Sangwoo pada minit ke-78, dengan keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan tersebut membolehkan Terengganu naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan kelima dengan 24 mata.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Super, Kuala Lumpur turut berjaya mendaki tiga anak tangga untuk menghuni tempat ketujuh selepas bangkit daripada ketinggalan bagi menewaskan Melaka United 4-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol pasukan pelawat dijaringkan kapten Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-30 dan ke-82, Zaquan Adha Abd. Radzak (m-55) dan Guilherme De Paula pada minit ke-63.

Sementara dua gol Melaka disumbangkan oleh Ifedayo Olusegun seawal minit kelima dan ke-42.- UTUSAN ONLINE