Pengendali Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, adalah penting buat pasukannya me­raih keputusan selesa sebagai bekalan untuk dibawa ke Likas dalam perlawanan kedua pada 21 Oktober ini.

"Saya sangat gembira kerana separuh akhir pertama berlangsung di sini, ia sudah tentu memberi kelebihan kepada kami dan kami kami perlu menang.

"Sabah walaupun dari Liga Perdana namun mereka me­nunjukkan semangat juang tinggi mengalahkan pasukan Liga Super sehingga mara ke separuh akhir. Itu bermakna kami tidak memandang mudah perlawanan ini,” katanya.

Menurut Durakovic, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan Sabah walaupun terpaksa melupakan khidmat kapten dan pemain tengah berpengalaman, Mohd. Nasir Basharuddin kerana kecederaan.

"Tugas kapten kini digalas pemain pertahanan, Shahrol Saad untuk memastikan Perak meraih kemenangan," kata­nya.

Durakovic berharap penyokong Perak memenuhi stadium bagi menaikkan semangat para pemain esok.

"Pemain sememangnya meng­harapkan sokongan penyokong dan mereka akan fokus untuk menang selesa malam esok," katanya.

Sementara itu, Shahrul berkata, semangat dan keyakinan pasukan berada di tahap terbaik setelah mengalahkan PKNS pada suku akhir.

"Bagaimanapun kami tidak pandang mudah tentangan Sabah walaupun mereka dari Liga Perdana. Kami mahu ke final dan bawa pulang Piala Malaysia," kata­nya.