Ronaldo, 32, beraksi dalam kesemua empat perlawanan Portugal dan menjaringkan dua gol sebelum juara Eropah itu tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Chile pada separuh akhir.

Bintang penyerang Real Madrid itu mengesahkan kelahiran bayi kembarnya dan berkata, dia tidak akan menyertai pasukan dalam penentuan tempat ketiga menentang Mexico, esok.

“Ronaldo adalah kapten kami. Dia berkorban untuk berada di sini bersama kami dan memberikan segalanya yang terdaya bagi membantu Portugal. Malangnya kami gagal layak ke perlawanan akhir seperti yang dimahukan.

“Menjadi bapa adalah anugerah terhebat daripada Tuhan. Sebagai seorang bapa, saya turut berasa gembira untuknya. Saya tahu ia antara perkara paling indah dapat mendidik dan membimbing mereka untuk langkah pertama.

“Saya gembira kerana dia (Ronaldo) berada di sini sehingga detik terakhir dan saya berterima kasih kepada presiden dan pasukan yang memberinya kesempatan untuk bersama anak-anak­nya, yang dilahirkan beberapa minggu yang lalu,” kata Pepe kepada wartawan.

Pepe digantung perlawanan ketika menentang Chile, namun dijangka kembali pertemuan menentang Mexico.

Mexico mengikat Portugal 2-2 pada peringkat kumpulan dan mereka adalah satu-satunya pa­sukan yang berjaya membolosi gawang juara Eropah itu dalam waktu permainan sebenar pada kempen Piala Konfederasi kali ini.

Selain kehilangan Ronaldo, Portugal yang dibimbing Juan Carlos Osorio juga ditimpa isu kecederaan dua pertahanan, Diego Reyes dan Carlos Salcedo dalam pertemuan dengan Mexico. – AGENSI