Mengakui masalah itu, jurulatih Nelo Vingada berkata, skuad negara mampu memperoleh keputusan lebih positif sekiranya boleh menyempurnakan begitu banyak peluang yang mereka peroleh.

Menurutnya, pemain negara ternyata lebih menguasai permainan, namun dilihat masih lemah dalam mencari sentuhan penyudah yang akhirnya me­nyaksikan banyak peluang terlepas di depan gawang pihak lawan.

“Perlawanan yang sangat sukar bagi kami disebabkan Hong Kong bukanlah sebuah pasukan lemah seperti yang dianggap oleh ramai pihak, tetapi inilah yang kita harus lalui.

“Kesilapan yang dilakukan agak mengecewakan, tetapi pemain telah memberikan komitmen mereka dengan memperlihatkan peningkatan apabila bermain sebagai sebuah pasukan dalam perlawanan tadi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Di sebalik asakan bertali arus skuad tuan rumah, Hong Kong yang lebih dahulu memperoleh gol menerusi Alessandro Leonardo pada minit ke-53 tetapi Mohd. Syazwan Zainon menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Perlawanan itu berlangsung tegang dan sebanyak enam kad kuning dan dua kad merah dila­yangkan.

Malaysia menamatkan permainan dengan sembilan pemain setelah pengadil Christopher Beth dari Australia mengarahkan Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abdul Radzak meninggalkan padang pada penghujung permainan.

Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam bagaimanapun muncul penyelamat apabila menampan sepakan penalti Leandro untuk memastikan skuad Vingada mengutip satu mata.

Pengendali dari Portugal yang digelar 'Profesor' itu turut berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang disifatkannya sebagai terbaik sejak dia mula mengambil alih skuad kebangsaan daripada Datuk Ong Kim Swee.

Dia turut percaya skuad itu juga akan bertambah baik selepas diperkuatkan lagi dengan kemasukan pemain-pemain bawah 22 tahun yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2017 baru-baru ini dalam perlawanan seterusnya menjelang Oktober nanti.

“Kita kehilangan dua mata tetapi saya percaya sekarang ini kita mempunyai pasukan terbaik di negara ini.

“Kami ada pemain yang bagus dan mereka memahami falsafah dan cara saya bekerja selain memiliki semangat juang yang tinggi.

“Seperti yang saya katakan, kami mencipta pelbagai peluang menarik pada kedua-dua babak dan jika bercakap mengenai peluang serta penguasaan bola, kami sebenarnya layak untuk menang kerana keputusan seri tidak cukup berdasarkan persembahan ditunjukkan,” katanya.

Bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang bertemu Korea Utara, Vingada menegaskan dia akan memberi tumpuan untuk meningkatkan mentaliti pemain kerana pertemuan ke­dua-dua pasukan itu dilihat sebagai satu perlawanan yang amat sukar, lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan.

Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon ternyata kecewa dengan keputusan yang diperoleh pasukannya malam tadi apabila menyaksikan pasukannya sekadar seri 1-1 bertemu Malaysia.

Katanya, dia mengharapkan pasukannya menang untuk dijadikan sebagai bekalan selesa bagi menghadapi peringkat seterusnya.