Apa yang lebih menggembirakan pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim adalah melihat Kipre Tchetche kembali menemui sentuhan jaringan selepas meledak kedua-dua gol skuad Penyu pada minit ke-50 dan 90.

Biarpun Felda cuba bangkit merapatkan jurang menerusi Kei Ikida, empat minit memasuki waktu kecederaan, namun kebangkitan yang cuba dilakukan The Fighters sudah terlalu lewat.

Kemenangan itu membolehkan Terengganu melonjak ke tangga keenam liga dengan 12 mata, 11 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagi Irfan Bakti, apa yang gembirakannya adalah melihat Tchetche mula memainkan peranan sebenar sebagai penjaring gol pasukan.

“Yang penting sekali adalah tiga mata dan kemudian Tchetche sudah mula menjaringkan gol, jadi masalah kekeringan gol dalam 10...sembilan perlawanan yang dihadapi sudah berakhir.

“Dia bukan sekadar menjaringkan gol, malah permainannya sudah bertambah baik. Itu petanda positif,” kata Irfan Bakti. - UTUSAN ONLINE