Majlis undian diadakan di Nyon yang menyaksikan Red Devils diundi menentang Barcelona, yang telah memenangi pertandingan tersebut sebanyak empat kali sejak 13 tahun lalu.

Kelab Catalan itu turut memiliki Lionel Messi, yang memusnahkan Red Devils dalam perlawanan akhir 2011. Penyokong United difahamkan bimbang tentang pertemuan itu, yang dijangka memberi laluan sukar buat kelab kesayangan mereka.

Mereka juga sedikit kecewa apabila melibat pencabar Liverpool dan Manchester City, masing-masing diundi menentang Porto dan Tottenham, yang mana pada pandangan penyokong United ia merupakan satu laluan mudah untuk ke final.

Menerusi media sosial Twitter, seorang peminat United menulis: “City dan Liverpool mendapat undian mudah, manakala United bertemu Barcelona. Ia memang mengejutkan...”

Sementara seorang lagi penyokong menambah: “Segalanya menjadi serba tak kena dalam undian ini dari kaca mata penyokong United.

“United bertemu Barcelona. Kemenangan mudah untuk mereka pada pandangan saya. Liverpool menentang Porto. Satu perlawanan mudah. City berdepan Spurs, tidak sukar untuk mereka.”

Satu lagi luahan hati peminat United memberitahu: “Solksjaer mesti tertanya-tanya apa yang perlu dia lakukan untuk dapat undian mudah. Sementara City dalam kedua-dua pertandingan, dan Liverpool dalam Liga Juara-Juara, terus mendapat laluan mudah.” - AGENSI