Wenger yang membimbing Arsenal sejak 1996 menerima tekanan hebat sejak pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, Selasa lalu ekoran kekalahan besar 2-10 secara agregat kepada Bayern Munich.

Kekalahan terbaru di The Hawthorns menyaksikan pengurus kelahiran Perancis itu terus menerima desakan daripada penyokong untuk meletakkan jawatan.

“Saya sudah tahu apa yang akan saya lakukan dengan masa depan saya dan saya akan beritahu anda dalam masa terdekat,” kata Wenger kepada pemberita sejurus selepas tamat perlawanan hari ini.

Sepanjang perlawanan tersebut, sekumpulan penyokong Arsenal dilihat memegang sepanduk dan kain rentang yang mendesak Wenger segera berundur.

Malah sebelum perlawanan bermula, sebuah pesawat ringan kelihatan berlegar di atas stadium dengan membawa kain rentang bertulis “NO CONTRACT #WENGER OUT”.

Segelintir penyokong turut melaungkan kata-kata “WENGER OUT” sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan.

Jurulatih berusia 67 tahun itu dipercayai telah ditawarkan sambungan kontrak dua tahun oleh Arsenal. - AFP