Dalam tempoh sejam selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengumumkan mengenai pelantikan tersebut menerusi Facebook rasmi mereka, ruangan komen dihujani ucapan tahniah daripada peminat.

Rata-rata menganggap Cheng Hoe, 46, adalah pilihan yang tempat untuk menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan semalam, namun mereka juga menasihati bekas pengendali Kedah itu supaya bersiap sedia daripada segi mental untuk menerima pelbagai tekanan yang menanti.

“Kami sebagai Rakyat Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikan beliau menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu. Good Luck!

“Harap-harap taktikal beliau ala-ala bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang menjadi! Beliau juga suka kepada ramai pemain muda untuk diserapkan menyertai skuad Harimau Malaya kali ini,” kata pengguna Facebook, Muhammad Hafiz.

“Kami mengharapkan yang terbaik! Tahniah TCH...moga pemain yang mempunyai semangat untuk beraksi buat Malaysia dipilih menyarung jersi kebangsaan. Masa untuk memperbaiki ranking,” kata Julian Kennedy.

“Selamat maju jaya TCH. Sasaran 2018 untuk perbaiki ranking dan separuh akhir Piala AFF. Terapkan corak permainan penguasaan posisi dan kurangkan dibolosi. Bukan mengharap keajaiban sekelip mata, mahu penambahbaikan setiap perlawanan ditempuhi,” tulis Pharm Gan pula.

Tugas terdekat Cheng Hoe adalah membimbing Malaysia menghadapi Lebanon dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut pada 27 Mac nanti, namun pasukan negara sudahpun tersingkir dengan menghuni tangga tercorot Kumpulan B.

Tugasan terbesar jurulatih kelahiran Kedah itu adalah Piala AFF 2018 yang akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember, yang mana kali terakhir terakhir Malaysia muncul juara adalah pada 2010.

Sementara itu, Cheng Hoe ketika dihubungi Utusan Online mengakui, agak kertejut ketika diumumkan sebagai pengganti Vingada, namun akan membalas kepercayaan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan sebaiknya.

“Saya menjunjung kasih ke atas Tunku Presiden FAM kerana memberikan peluang kepada saya mengendalikan Harimau Malaya.

“Bagi saya ini adalah satu tugas dan tanggungjawab besar yang harus dijalankan dengan baik. Dalam masa sama berharap penyokong bersabar dan memberi ruang buat saya menjalankan tugas baharu ini,” katanya.

Mengenai penolongnya, Cheng Hoe berkata beliau perlu berbincang dan menunggu arahan daripada Tunku Ismail. - UTUSAN ONLINE