Bagaikan hidup terbuang, The Red Giants yang memegang rekod 33 kali menjuarai Piala Malaysia kini bagaikan terpaksa ‘merempat’ mencari stadium setelah dihalang bermain di Stadium Shah Alam oleh kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehingga kini pasukan Selangor belum ada kepastian di mana mereka boleh bermain, sama ada kekal di Selayang seperti musim lalu atau di Stadium Cheras kerana perlu menunggu lampu hijau Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) terlebih dahulu.

Jika di Selayang, Selangor terpaksa bermain sebelah petang kerana lampu limpahnya tidak menepati piawaian dan tentu sekali ia tidak membantu The Red Giants dari segi bilangan penyokong, sedangkan bola sepak sejenis sukan yang berkait rapat dengan penyokong.

Kesannya bukan hanya merugikan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan The Red Giants, tetapi jutaan peminat Selangor yang kini kempunan untuk melihat pasukan kesayangan mereka bermain di Shah Alam selaku gelanggang tuan rumah.

Namun, semua itu tidak dipedulikan Mohamed Azmin dan Kerajaan PKR Selangor kerana bagi mereka, kepentingan politik sempit itu lebih penting daripada segala-galanya biarpun terpaksa mengorbankan FAS serta The Red Giants.

Malah, sehingga semalam, biarpun Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) telah menghantar memorandum 15,000 tandatangan penyokong dan memberi tempoh 48 jam untuk Mohamed Azmin memberi kata putus, kerajaan negeri dilihat masih lagi mahu bermain politik dan bukannya menyelesaikan masalah.

Buktinya, Exco Sukan negeri, Amirudin Shari berkata, isu tersebut memerlukan perbincangan selama tiga bulan lagi, sedangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sudah bermula, selain kemelut Stadium Shah Alam itu sendiri sudah berlarutan sejak setahun lalu.

Kini, semuanya terletak di tangan jutaan penyokong Selangor, sama ada mahu melihat masa depan The Red Giants terus menjadi mangsa dendam politik yang sempit, atau membuat keputusan menjadikan pihak terbabit sebagai mangsa kepada permainan politik mereka sendiri. - UTUSAN ONLINE