Tindakan itu bertujuan mengelakkan lebih banyak ‘malapetaka’ menimpa Kelantan pada masa hadapan, sekali gus memberikan kesan buruk pada pasukan.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors KLIA, Rozaki Abd. Kadir berkata, KAFA memerlukan tenaga baharu selepas Bibi Ramjani dilihat gagal melaksanakan tugas tersebut selepas diberi mandat oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) pada pemilihan kongres badan induk itu September 2017 lalu.

Menurutnya, kekalahan buruk 2-5 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu jelas memperlihatkan kegagalan usahawan batik itu mengemudi KAFA.

“Sebagai peminat, kami sudah muak dan loya dengan kontroversi yang terlalu banyak membelenggu sehingga memberikan imej buruk pada badan induk itu.

“Sejak (Bibi Ramjani) memegang tampuk kepimpinan Kafa dipalit dengan pelbagai masalah yang timbul bermula dengan isu kegagalan membawa masuk tiga syarikat multinasional, ambil serta gugur pemain secara besar-besar, isu jurulatih (Fajr Ibrahim) dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, kegagalan KAFA melunaskan tunggakan gaji Alfredo Gonzales memberikan impak cukup besar pada pasukan apabila dipotong tiga mata sekaligus terperosok ke tangga tercorot Liga Perdana.

Rozaki memberitahu, pemotongan mata itu memperlihatkan kegagalan KAFA dalam menyelesaikan isu hutang tertunggak sebelum ini. - UTUSAN ONLINE.