Namun, mereka sesekali tidak akan dapat melupakan tindakan barisan pengurusan, terutama bekas Presiden PFA, Datuk ­Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie yang telah memalukan Si­nga Utara dan merosakkan pasukan bola sepak negeri ini.

Bagi mereka, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengurusan kali ini adalah yang paling teruk dalam sejarah bola sepak negeri ini dan situasi tersebut akan dikenang sebagai mimpi paling buruk.

Muhamad Zaim Redzuan, 33, berkata, keputusan MFL itu tepat selepas melihat ke­upayaan kewangan pasukan yang sememangnya tidak mampu untuk meneruskan saingan musim ini.

Katanya, pada masa ini, pihak pengurusan sebaik-baik­nya memberi tumpuan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan membuka lembaran baharu dengan bermula dari bawah.

“Sekarang zaman bola sepak moden, pasukan kena ada pe­ngurusan dan kewangan yang cekap. Kita sedia maklum, Perlis sememangnya tidak mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Tidak salah bermula dari bawah dan kembangkan bakat-bakat muda untuk diserap dalam pasukan ne­geri.

“Biarpun sedikit kecewa namun jalan itu (kekal penggantungan) adalah yang terbaik daripada melihat Perlis terus menjadi bahan kritikan,” katanya.

Anuar Arus, 37, mengakui Perlis selalu berhadapan masalah gaji sebelum ini namun situasi yang berlaku kali ini pa­ling memalukan dalam sejarah bola sepak negeri ini.

“Sepanjang dua bulan ini, nama Perlis menjadi perbualan dan tajuk utama berita hampir setiap hari. Semuanya adalah cerita-cerita kurang enak yang sekali gus merentap semangat penyokong.

“Kita sudah lama merindui Perlis kembali menjadi pasukan digeruni namun harapan itu hanyalah sia-sia dengan tindakan tidak bertangungjawab presiden ini,” katanya.

Azizi Abu Bakar, 38, pula berkata, PFA perlu mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku dan ‘mengukur baju di badan sendiri’ jika ingin membentuk pasukan selepas ini.

“Jika tidak mampu, jangan ambil pemain bintang, guna sahaja khidmat anak tempatan termasuk Piala FAM tahun lalu,” katanya yang kecewa kerana harapan untuk kembali ke Stadium Tuanku Syed Putra musim ini punah ekoran tindak-tanduk PFA.