Mendapat penghormatan sebagai pasukan pertama beraksi dalam Piala Dunia 2018 menentang tuan rumah, Rusia pada 14 Jun memberi perasaan bercampur baur buat skuad yang terkenal dengan julukan Helang Hijau itu.

Arab Saudi memahat sejarah sebagai negara Asia pertama tampil dalam aksi pembukaan. Belum ada mana-mana negara rantau ini diberi penghormatan itu, termasuk ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama pada 2002.

Begitupun, perlawanan pembukaan jatuh pada malam Hari Raya Aidilfitri dan itu bermakna, pemain-pemain Arab yang majoritinya beragama Islam terpaksa mengorbankan perayaan demi bola sepak dan negara.

Para pemain serta pegawai pasukan Arab akan merayakan Aidilfitri di kem latihan dan meraikan sambutan hari raya bersama rakan sepasukan tanpa kehadiran ahli keluarga.

Bagaimanapun, sambutan hari raya kali ini pasti berbeza, bukan sahaja buat Arab Saudi, malah negara-negara Islam yang bertanding dalam Piala Dunia, selain penduduk Rusia sendiri kerana negara itu memiliki populasi muslim yang agak ramai.

Sambutan Aidilfitri kebiasaannya akan tertumpu di Masjid Agung Moscow yang berhampiran Stadium Luzhniki, venue perlawanan pembukaan di antara Rusia dan Arab Saudi.

Selain Arab Saudi, Iran akan beraksi di Rusia selepas layak ke saingan itu pada 1978, 1998, 2006 dan 2014 tetapi tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Iran merupakan negara Islam paling berjaya selepas merangkul tiga Piala Asia.

Tunisia yang membariskan ramai pemain beragama Islam pula akan membuat penampilan keempat dan dijangka memberikan saingan sengit dalam Kumpulan G yang turut dibarisi Belgium, England dan Panama.

Sebuah lagi negara Islam, Maghribi akan beraksi buat kali kelima dalam Piala Dunia selepas kali terakhir layak membuat penampilan 20 tahun lalu.

Selepas 28 tahun, Mesir juga bakal membuat penampilan semula dalam Piala Dunia selepas menewaskan Congo pada aksi kelayakan dengan Mohamed Salah menjadi wira mereka.

Selain disertai negara-negara Islam, Piala Dunia turut menghimpunkan bintang dunia beragama Islam dari Jerman, Perancis, Senegal dan Belgium seperti Mesut Ozil, Paul Pogba serta Sadio Mane.