The Blues yang kembali mewarnai saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas setahun akan melayan kunjungan kelab Azerbaijan Qarabag di Stamford Bridge, awal pagi esok.

Selepas tiga hari Chelsea dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Leicester City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) diikuti pertemuan menarik dengan pencabar tetangga London, Arsenal pada Ahad ini.

Ia adalah sesuatu yang tidak diharungi Conte pada musim lalu ketika mengemudi The Blues menjulang kejuaraan EPL pada musim pertamanya di England setelah kelab itu menamatkan saingan di tangga ke-10 pada musim 2015/2016.

Selain Qarabag, turut menghuni dalam Kumpulan C adalah AS Roma dan Atletico Madrid namun Conte perlu membuat pertimbangan sebaiknya jika mahu merehatkan pemain.

Conte berkata penyerang berpengaruh, Eden Hazard yang kembali cergas selepas kecederaan buku lali akan berada di bangku simpanan manakala pemain baharu, Danny Drinkwater direhatkan susulan kecederaan paha.

“Kami mengharungi perlawanan yang sukar (menentang Leicester) dan menghabiskan begitu banyak tenaga. Untuk bermain tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari bukan mudah.

“Adalah normal untuk bersedia melakukan beberapa penggiliran. Ada keperluan untuk melakukan penggiliran pemain dan bermain satu perlawanan ke satu perlawanan.” kata pengurus dari Itali itu.

Conte memenangi UCL sebagai pemain bersama Juventus pada 1996 dan dua musim mengemudi gergasi Itali itu dalam kempen elit berkenaan namun gagal memenanginya kejuaraan tersebut. - Reuters