Ini kekalahan pertama The Citizens musim ini, sekali gus menyebabkan kedudukan mereka sebagai pendahulu dipintas pencabar rapat, Liverpool yang melakar kemenangan me­yakinkan 4-0 ke atas Bournemouth.

Guardiola menegaskan, apa yang penting adalah melihat bagaimana pemainnya mengendalikan kekalahan di Stamford Bridge kerana jika gagal bangkit, mereka bukan sahaja bakal terlepas gelaran liga, malah Liga Juara-Juara.

“Memang tidak mudah (kekal rekod tanpa kalah). Kami di sini bukan untuk menjadi kebal tetapi mahu muncul juara. Kami sentiasa tenang dan memandang ke hadapan.

“Ini sebahagian daripada rencah pertandingan. Tiada sukan di dunia yang pasukan itu akan sentiasa menang.

“Kami kekal bersemangat, apatah lagi pemain menunjukkan permainan baik hari ini. Ia pengajaran berguna,” kata Guardiola.

City memiliki deretan peluang, terutama menerusi Raheem Sterling dan Leroy Sane, malangnya tidak dapati disudahkan.

Sebaliknya Chelsea berjaya menyerap tekanan dengan mencipta jaringan kemenangan menerusi N’Golo Kante dan David Luiz. – AGENSI