Ibu negara Rusia, Moscow yang mempunyai 12 juta penduduk bakal menerima kedatangan ratusan ribu pelawat sepanjang sebulan Piala Dunia 2018 berlangsung.

Penyokong dari 32 buah negara peserta sama ada akan berpangkalan di Moscow atau menggunakan kawasan megalopolis bandar itu sebagai laluan keluar masuk ke-11 venue lain.

“Disebabkan banyak acara akan berlangsung, selain ketibaan ramai tetamu penting, sekatan jalan tambahan mungkin terpaksa dilakukan, terutama di pusat bandar.

“Kami amat menggesa penduduk bandar supaya menggunakan pengangkutan awam dan meninggalkan kereta mereka di rumah sepanjang kejohanan bagi mengelak kesesakan teruk.

“Ini juga akan menjadikan perjalanan anda lebih mudah dirancang,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan pengangkutan Rusia.

Menurut kenyataan itu lagi, polis trafik akan menghentikan lalu lintas bagi memberi ruang kepada bas-bas yang membawa pemain dan penyokong, selain delegasi badan bola sepak dunia, FIFA. - AGENSI