Pengendali Red Devils itu se­ring meluahkan apa yang dirasai setiap kali pasukannya mempamer aksi buruk, dan seperti diduga, dia menyuarakan kekecewaan melihat Red Devils jauh ditinggalkan Reds.

Bukan satu kebiasaan Mou­rinho memuji Liverpool, namun kali ini dia mengakui, keupayaan anak-anak buah Jurgen Klopp berlari selaju 200 batu sejam amat menyukarkan United.

“Anda tidak mampu bersaing dengan hanya meningkatkan prestasi atau berusaha membantu pemain memiliki kelebihan sama (fizikal).

“Saya bagi contoh (Andrew) Robertson, (Sadio) Mane, (­Mohamed) Salah, (Georginio) Wijnaldum, (Naby) Keita dan Fabinho, semua adalah pemain yang memiliki kekuatan fizikal.

“Apa yang lebih penting, mereka juga pemain yang bagus dari segi teknikal.

“Saya juga mempunyai ramai pemain yang bagus secara teknikal tetapi kami tidak mempunyai pemain yang memiliki kekuatan seperti mereka.

“Apabila perlawanan berlangsung di tahap tertinggi, ia memberi kesukaran kepada kami.

“Sepanjang 20 minit pertama, ia begitu sukar. Kami berjaya mengawal bola tetapi tekanan dan asakan yang diterima membuatkan kami kecundang.

“Mereka cukup laju, agresif, sangat fizikal dan bermain secara objektif.

“Mereka berlari selaju 200 batu sejam dengan dan tanpa bola. Saya masih lagi terasa letih dengan hanya menyaksikan Robertson! Dia melakukan pecutan 100 meter setiap minit. Benar-benar luar biasa. Ini adalah kualiti,” kata Mourinho.

Kekalahan terbaharu ini meletakkan United keciciran 19 mata di belakang Liverpool, yang mendahului liga dengan mengutip 45 mata daripada 17 perlawanan. – AGENSI