Keputusan itu bermakna sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap skuad B-23 negara tidak tercapai namun pujian wajar diberikan kepada pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee kerana berjaya mempamer aksi bertenaga sebelum tewas kepada Jepun yang menurunkan skuad Sukan Olimpik 2020.

Kim Swee berkata, walaupun kalah namun anak didiknya wajar berbangga setelah mereka memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sepanjang permainan tetapi nasib tidak menyebelahi.

“Jepun ialah pasukan yang sangat kuat dan tidak mengalah.

“Pemain saya telah beraksi sebaik mungkin dan menandingi Jepun hingga minit ke-85 namun kesilapan kecil yang kita lakukan, selain kegagalan menyudahkan peluang keemasan menyebabkan kami tewas.

“Kita juga tidak bernasib baik dalam 20 minit terakhir kerana kita melancarkan banyak serangan namun tidak berhasil, termasuk sepakan Safawi yang terkena tiang,” katanya selepas perlawanan.

Skuad negara terlebih dahulu melancarkan serangan ke atas pasukan lawan apabila memperoleh peluang seawal minit ke-11 tetapi percubaan Safawi Rasid sedikit melepasi palang gol.

Skuad negara sekali lagi memperoleh peluang kedua bagi mendapatkan jaringan menerusi rembatan kapten Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 namun ditepis penjaga gol Jepun, Kojima Ryosuke.

Serangan terbaik Jepun hadir pada minit ke-34 hasil tendangan penyerang Reo Hatate namun kecekapan penjaga gol negara Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Skuad negara menguasai babak kedua perlawanan apabila lebih banyak melakukan asakan ke kubu Samurai Biru dan semakin kerap membuat percubaan namun akhirnya malang menimpa skuad muda Harimau Malaya apabila pengadil dari Iran, Heidari Bijan menghadiahkan sepakan penalti kepada Jepun pada minit ke-89 selepas kekasaran yang dilakukan oleh Dominic Tan ke atas Ueda.

Ueda tidak sukar untuk mengelirukan Haziq yang menerkam ke arash yang salam ketika bola menerjah sebelah kanan gawangnya untuk memberikan gol kemenangan Jepun.

Kekalahan ini bermakna pencapaian terbaik skuad negara dalam kempen Sukan Asia ialah meraih pingat gangsa pada 1974 di Tehran dan 1962 di Jakarta. – UTUSAN