Bibi Ramjani Ilias Khan
Bibi Ramjani

Malah Bibi Ramjani, yang menjadi wanita pertama di­pilih sebagai presiden pada Ahad lalu, berkata lebih memeritkan lagi ada penaja yang langsung tidak menepati janji mereka seperti termaktub dalam kontrak.

Tegasnya, jika penaja ber­kenaan mematuhi komitmen, mereka akan membantu me­ngurangkan masalah Kafa untuk membayar gaji barisan pemain The Red Warriors (TRW).

“Hanya tinggal tiga perlawanan sahaja lagi untuk musim ini, jadi saya minta kepada penaja tunaikanlah janji yang telah dibuat walaupun secara berperingkat-peringkat.

“Sekurang-kurangnya Kafa boleh gunakan wang tersebut untuk melunaskan tunggakan gaji bagi musim ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan de­ngan barisan pemain Piala Presiden di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, beliau telah melunaskan bayaran tunggakan gaji melibatkan barisan pemain Piala Presiden bagi bulan Julai dan Ogos.

Bibi Ramjani memberitahu, beliau menggunakan duit sendiri untuk melunaskan tunggakan tersebut.

“Saya berharap bayaran ini mampu membangkitkan semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan suku akhir Piala Pre­siden Khamis ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia mahu barisan pemain skuad Liga Super Kelantan terus fokus terhadap baki tiga perlawanan bagi menge­lakkan TRW jatuh ke Liga Perdana.

Katanya, beliau berharap barisan pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu sementara pihaknya berusaha mencari dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji.

Sementara itu, beliau menafikan kononnya berlaku pergolakan dalam barisan kepemimpinan, termasuk khabar angin mengatakan dua naib presiden yang baru memenangi jawatan itu, Datuk Aizudin Mohd. Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim bakal meletakkan jawatan.

“Perkara itu tidak benar, kedua-dua naib presiden dan semua ahli pengurusan memberikan komitmen terbaik terhadap persatuan,” katanya.