Jersi keluaran Adidas itu dianggap rekaan yang agak berani dan akan digunakan dalam perlawanan di tempat lawan sepanjang kempen musim 2019/2020.

Pemilihan warna coklat cair juga merupakan perubahan drastik berbanding merah jampu yang digunakan musim ini, dan seperti kebiasaan tiga jalur Adidas melengkapkan rekaan tersebut bersama logo Chevrolet selaku penaja utama di bahagian depan jersi.

Biarpun cuma melakukan perubahan yang dianggap menarik, namun reaksi yang diberikan peminat di Twitter tidak seperti yang diharapkan oleh United.

Rata-rata tidak gembira dengan rekaan tersebut, malah ada yang menyifatkan ia sebagai rekaan ‘mengarut’ dan menggambarkan keadaan sebenar pemain utama dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer.

“Kulit ular? Memang sesuai kerana hampir separuh daripada pemain dalam kesebelasan utama tidak ada ‘kaki’ untuk mengharungi 90 minit permainan, terlalu lembik,” tulis seorang peminat.

Seorang lagi penyong Red Devils pula berkata: “Rekaan yang menggambarkan Manchester United. Jersi baharu di tempat lawan adalah penghormatan buat semua ular-ular yang ada dalam bilik persalinan”.

“Saya tidak pernah melihat jersi seburuk ini sepanjang hidup saya. Apa sebenarnya berlaku di belakang tabir kelab?,” tulis seorang lagi peminat.

Bagaimanapun tidak dapat disahihkan apakah benar ia jersi baharu yang akan digunakan oleh United musim depan kerana gambar baju tersebar selepas ia dijual di kedai Adidas Noida, India. - AGENSI