Walaupun langkah Malaysia di Kunshan, China tersekat di suku akhir hari ini, namun permainan baik yang ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee ketika tewas 1-2 kepada gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan me­nerima pujian.

Skuad muda negara sebelum itu turut mencatat dua keputusan memberangsangkan di peringkat kumpulan dengan mengejutkan Arab Saudi 1-0 dan mengikat Jordan 1-1.

Bagi Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, populariti skuad B-23 Malaysia naik mendadak, malah di Jepun ramai peminat negara itu memberi sokongan kepada mereka ketika menentang Korea Selatan.

“Jepun tewas semalam kepada Uzbekistan (0-4), jadi kami berharap Malaysia dapat menang ke atas Korea Selatan untuk bertemu Uzbekistan di peringkat sete­rusnya.

“Jepun dan Korea Selatan memang seteru utama, jadi peminat Jepun menyokong Malaysia,” katanya sebelum perlawanan bermula.

Biarpun apa yang diharapkan Hamada dan jutaan rakyat negara ini tidak kesampaian tetapi permainan baik skuad B-23 ketika memaksa naib juara 2016, Korea Selatan bekerja keras sepanjang 90 minit membuktikan masih ada sinar buat masa depan bola sepak negara.

Masakan tidak, ini hanyalah penampilan pertama Malaysia dalam kejohanan itu dan mereka sudahpun berjaya ke suku akhir walaupun diletak dalam kumpulan sukar yang dibarisi tiga gergasi Asia Barat, Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga dihujani pujian daripada peminat yang menganggap Malaysia kalah berjuang serta bermaruah, malah berharap pemain-pemain muda ini mendapat lebih banyak kepercayaan mengisi skuad senior, selain mencuri tumpuan kelab luar negara.

“Tahniah Malaysia...permainan yang bagus. Harapan ada antara pemain-pemain muda dapat bermain di kelab luar yang lebih bagus daripada pasukan di liga tempatan,” kata pemilik akaun Nazmie Abu Bakar.

Mohd. Sahril Othman pula berkata: “Berjuang hingga akhir permainan, satu semangat yang amat baik...salute anda semua permain U-23. Perjuangan masih belum selesai, jangan patah semangat mase depan pemain B-23 masih jauh...teruskan semangat dan perjuangan anda...tahniah semua”.

“Ini adalah persembahan terbaik dari Malaysia jika dibandingkan dengan skuad utama kebangsaan, masa depan bola sepak negara telah bermula!!,” kata Zulkhairul Anuar Saleh pula.

“Tahniah Harimau Malaya U23..GOOD GAME...Dah lama tak tengok pasukan Malaysia main sebaik ini di peringkat Antarabangsa...ini yang kita mahukan..teruskan usaha..pasukan U23 ni boleh pergi jauh lagi untuk persiapan Skuad Senior Harimau Malaya masa hadapan. Tahniah semua,” ujar Kelana Jaya Putera.