Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini mendapati peminat bola sepak sudah beratur di kaunter jualan tiket sejak awal pagi tadi.

kedah-selangor
 

Bagi Mohd. Afeandi Ishak, 30, dia sanggup beratur sejak pukul 5 pagi tadi kerana bimbang tidak dapat membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan antara Kedah dan Selangor di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

“Disebabkan mahu menonton perlawanan suku akhir kedua ini di stadium, saya sanggup mengambil cuti tanpa gaji. Ini kerana saya minat dan mahu memberi sokongan kepada pasukan Lang Merah.

“Saya gembira dapat membeli tiket walaupun terpaksa menunggu dari pukul 5 pagi lagi bersama seorang sepupu saya,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Afendi berharap para pemain yang diturunkan pada malam ini dapat menggalas tugas dengan baik kerana sudah pasti Selangor mahu mendapatkan jaringan di laman lawan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar berkata, sebanyak 10,000 tiket sudah terjual di lima kaunter yang dibuka sejak pukul 10 pagi tadi.

“Keadaan di semua kaunter tiket pada hari ini berada dalam keadaan terkawal namun KFA telah mendapatkan bantuan 20 sukarelawan daripada kelab penyokong untuk membantu melancarkan lagi proses penjualan tiket.

“Orang ramai masih boleh mendapatkan tiket perlawanan suku akhir kedua antara Kedah dan Selangor pada malam ini kerana tiket masih berbaki 10,000 lagi,” ujarnya.