Dua sepakan penalti yang disempurnakan oleh Pogba memastikan United menang 2-1 ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, hari ini selepas bergelut untuk mencari gol.

Selepas menyempurnakan sepakan penalti kedua, Pogba kemudian berkampung di kawasan sendiri untuk membantu benteng pertahanan.

Bagaimanapun, dalam keterujaan untuk membantu pasukan, bintang tengah Perancis itu melakukan kekasaran yang amat bahaya terhadap pemain lawan.

Ketika bola berada di udara dan cuba dikejar oleh Snodgrass, Pogba menghulurkan kakinya dan hampir mencederakan lawan.

Dia kemudian tertendang kepala Snodgrass, namun bernasib baik pemain Scotland itu tidak mengalami kecederaan serius.

Peminat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kegagalan pengadil melayangkan sebarang kad terhadap Pogba dalam media sosial.

Dalam aksi di Old Trafford itu, Pogba menyempurnakan penalti pertamanya pada minit ke-19, namun West Ham membalas dengan gol penyamaan Felipe Anderson pada minit ke-49.

Ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Pogba mengesahkan tiga mata buat United dengan menyempurnakan sepakan penalti kedua.

Kemenangan membolehkan United merapatkan jurang dengan pasukan tangga keempat, Chelsea menerusi dua mata di belakang. - AGENSI