Pengendali skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, daya tahan pemain beraksi dalam cuaca sejuk itu akan diuji sepanjang sesi latihan di Mokpo, Korea Selatan.

Pasukan muda negara memulakan latihan di Pusat Bola Sepak Antarabangsa Mokpo petang tadi, dan Kim Swee memberi tempoh tiga hingga empat hari kepada anak-anak buahnya untuk menyesuaikan diri.

“Apa yang saya ingin lihat dalam aksi persahabatan di sini nanti adalah pemain dapat mengikut arahan dan mampu bermain dalam cuaca yang begitu sejuk. Ini adalah kriteria utama (pemilihan).

“Jika mereka tidak mampu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk, mungkin itu akan menjadi salah satu faktor (digugurkan), namun semuanya terpulang pada tiga aksi persahabatan nanti.

“Apapun, saya tahu pemain memerlukan tiga hingga empat hari untuk menyesuaikan diri dan selepas itu kita akan melihat tahap kemajuan mereka memandangkan kita perlu fokus kepada pendekatan serta apa yang kita ingin lakukan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), malam tadi.

Skuad muda negara terbang ke Mokpo, Korea Selatan malam tadi untuk mengharungi kem latihan pusat selama dua minggu sehingga 30 Disember dan bakal mengharungi tiga aksi persahabatan bertemu Mokpo City (20 Disember), Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

“Saya ibaratkan latihan di Korea Selatan ini adalah sebagai latihan fasa kedua dan ini peluang kita untuk melakukan penambahbaikan daripada segala aspek sebelum latihan fasa ketiga di China nanti.

“Saya hanya mahu berfikiran positif dan kalau terjadi apa-apa masalah ketika di Korea Selatan nanti, sudah tentu kita ada pelan alternatif yang boleh diambil,” katanya lagi.

Kejohanan AFC B-23 akan berlangsung dari 9 hingga 27 Januari. Kempen Malaysia bagaimanapun hanya bermula pada 10 Januari menentang Iraq.

Selain Iraq, anak-anak buah Kim Swee diletak Kumpulan C bersama Jordan dan Arab Saudi. - UTUSAN ONLINE