Barton yang kini bermain untuk Burnley tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana pertandingan bola sepak susulan daripada pengakuan bersalahnya berkaitan terbabit dalam 1,260 pertaruhan antara 2006 hingga 2016.

Sambil menyalahkan diri sendiri kerana ketagih dengan judi bola sepak, Barton bagaimanapun bercadang untuk merayu terhadap hukuman penggantungan yang panjang itu.

“Saya kecewa dengan hukuman yang keras ini. Keputusan ini seperti memaksa saya bersara lebih awal daripada bola sepak. Ingin saya jelaskan, ini bukan bermakna saya terbabit dalam sindiket menentukan keputusan perlawanan tetapi lebih kepada melanggar peraturan dan integriti saya sebagai pemain profesional.

“Saya mengaku melanggar peraturan itu tetapi hukuman yang diterima agak berat daripada yang saya jangkakan. Lagi pun saya sudah serahkan laporan perubatan ketagihan saya berjudi kepada FA England untuk membuktikan usaha saya melawannya,” kata Barton dalam satu kenyataan di laman web peribadinya.

Terdahulu FA England dalam satu kenyataan menegaskan, hukuman penggantungan Barton berkuatkuasa serta merta selepas pemain itu mengaku bersalah suka berjudi dan terlibat dengan pertaruhan bola sepak. – AFP