Walau bagaimanapun polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap satu lagi laporan polis iaitu yang melibatkan Timbalan Presiden PFA yang kini menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, kerana didakwa menyeleweng wang para pemain.

Nasihat supaya mendapatkan khidmat peguam itu disampaikan pihak polis kepada bekas Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman, 30, yang mewakili rakan-rakannya, hari ini.

Menurut Ezzrul Ikmanizar, dia dimaklumkan bahawa pihak polis telah mengklasifikasikan kes melibatkan Ahmad Amizal Shaifit sebagai sivil dan bukan jenayah.

“Dalam kes melibatkan bekas Presiden PFA (Ahmad Amizal Shaifit), kami diminta supaya mendapatkan khidmat peguam dan menyaman beliau kerana melanggar kontrak.

“Ini sedikit sebanyak menyukarkan kami kerana dalam keadaan tidak menerima gaji (tujuh bulan), pemain pula perlu mencari peguam pula.

“Bagi kes Mohd. Abdul Karim Khan pula, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya di sini.

Semalam, seramai tujuh orang pemain Perlis Northern Lions II membuat laporan polis bagi meminta siasatan dijalankan terhadap Ahmad Amizal Shaifit kerana didakwa menipu kontrak mereka.

Laporan sama turut meminta siasatan dijalankan terhadap Mohd. Abdul Karim Khan kerana didakwa menyeleweng wang para pemain.

Sebelum ini, Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. mengalu-alukan laporan polis bagi membolehkan pasukan keselamatan itu memulakan siasatan terhadap Ahmad Amizal Shaifit.

Warganet yang terdiri daripada para penyokong PFA turut menggesa Ahmad Amizal Shaifit agar segera meletak jawatan atas pelbagai masalah yang melanda pasukan itu.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019. - UTUSAN ONLINE