Tambah menghibakan, pemain Singa Utara itu umpama jatuh ditimpa tangga kerana mungkin terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan dalam keadaan serba kekurangan.

Untuk rekod, Perlis yang beraksi dalam Liga FAM hanya menerima gaji pada Mac minggu lalu.

Jumlah itu sudah tentu tidak mencukupi bagi mereka untuk melunaskan komitmen bulanan seperti bayaran kereta dan sewa rumah.

Akibat tidak tahan dengan tekanan tersebut, beberapa orang pemain terpaksa menyuarakan masalah mereka itu kepada wartawan.

Dakwa seorang pemain yang enggan namanya didedahkan, keadaan mereka semakin terdesak selepas beberapa bulan tidak menerima gaji apatah lagi ketika hari raya semakin hampir.

“Bayaran kereta sudah tiga bulan tertunggak dan lebih menyedihkan, saya tidak lagi mampu menghantar belanja bulanan kepada keluarga di kampung. Gaji sebulan yang dapat baru-baru ini hanya cukup untuk menampung hutang terdahulu.

“Setiap hari saya diganggu dengan panggilan dari bank akibat masalah hutang kenderaan. Situasi itu menyebabkan kami tertekan dan hilang semangat untuk bermain,” kata pemain yang berasal dari Perak kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tambahnya, dia tidak pernah menghadapi masalah tunggakkan gaji ketika bermain dengan dua pasukan lain sebelum ini.

Dalam pada itu, dia percaya pasukan Perlis mampu pergi jauh dalam saingan Liga FAM jika pihak pengurusan tidak mempunyai masalah membayar gaji pemain.

“Kami masih mempunyai dua lagi baki perlawanan pada Julai ini selain mempunyai kontrak sehingga Oktober depan. Kami pun tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan jika terus tidak mendapat gaji,” katanya.

Seorang lagi pemain yang turut enggan mendedahkan namanya berkata, dia berharap pihak pengurusan dapat menjelaskan tunggakkan gaji sekurang-sekurangnya untuk tempoh sebulan bagi meringankan beban mereka dalam menyambut hari raya tidak lama lagi.

Dalam masa sama, dia juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan Ir. Shaharuddin Ismail yang seolah-olah lepas tangan apabila melepaskan jawatan Presiden PFA baru-baru ini ketika para pemain sedang berdepan dengan masalah gaji.

Mengenai latihan, para pemain tersebut juga memaklumkan bahawa mereka sudah dua bulan tidak turun padang berlatih. - UTUSAN ONLINE