Ini kerana Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) telah menolak permohonan Perak untuk menangguhkan perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur di tempat lawan, Jumaat ini.

Perkara itu diumumkan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini yang mengakui terpaksa akur dengan keputusan FAM.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, permohonan Perak tidak mendapat kelulusan disebabkan FAM juga terikat de­ngan banyak masalah dalam menyediakan jadual perlawanan.

Katanya, atas sebab itu Perak terpaksa terus bermain dalam kelayakan ACL itu nanti dengan harapan pemain bermain dengan penuh kesungguhan.

"Halangan-halangan ini tidak bermakna kita akan gagal dan saya harap semua pemain mesti cekalkan hati kerana terpaksa bermain empat perlawanan dalam masa tiga minggu.

“Ia begitu memeritkan tetapi jika ada kemahuan, di situ ada jalan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Perak memerlukan rehat yang secukupnya setelah ber­aksi 120 minit sebelum me­ngalahkan kelab Hong Kong, Kitchee SC menerusi penentuan penalti 6-5 di Stadium Perak semalam selepas perlawanan sebenar berakhir 1-1.

Sementara itu, jurulatih Pe­rak, Mehmed Durakovic berkata, Perak akan tetap ke Kuala Lumpur pada Jumaat meskipun pemainnya tidak mendapat rehat yang secukupnya.

"Pemain saya bukan mesin, saya tiada pilihan pemain yang ramai. Saya akan cuba memastikan pemain menjalani proses pemulihan sebaik yang mungkin dengan mengadakan latihan ringan sebelum ke Kuala Lumpur," katanya.