Jelasnya, idea tersebut bagaimanapun masih berada di peringkat awal dan banyak usaha perlu dilakukan jika ingin membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan.

“Perkara ini akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan perlu diperhalusi lagi sebab ia memerlukan banyak komitmen daripada kerajaan dan juga negara-negara lain.

“Sebagai contoh, pemain yang sesuai untuk dinaturalisasikan adalah dari Brazil dan benua Afrika. Kita perlu berbincang dengan banyak pihak termasuk kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Selepas lama berada dalam bola sepak, saya melihat ini adalah salah satu cara untuk melonjakkan kembali (prestasi) bola sepak negara seperti mana yang dibuat oleh Filipina. Mereka memiliki ramai pemain yang berdarah warisan dengan negara mereka.

“Berbeza dengan kita, Malaysia tidak mempunyai banyak pemain berdarah warisan tetapi naturalisasi ini adalah cetusan idea yang sememangnya saya impikan.

“Apapun, ia perlu dibahaskan dalam mesyuarat jawatankuasa dan sudah tentu perkara ini akan mengambil masa.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan laksanakannya tetapi masih ada proses yang perlu difikirkan selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi dialog bersama Presiden FAM di Kampung Padang Balang, di sini hari ini.

Sekalipun pemain tengah Pahang, Mohamadou Sumareh dikhabarkan sah memegang status rakyat Malaysia, jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe enggan terburu-buru memanggilnya kerana masih belum dimaklumkan berhubung perkara tersebut secara rasmi.

Dalam perkembangan lain, Hamidin memberitahu, beliau berharap Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung pergantungan Lesen Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika berhasrat membuat penampilan di Liga Juara-Juara (ACL) musim depan.

“Setakat ini saya difahamkan, Pahang belum lagi menghantar surat rayuan. Jadi, kita tunggu sahajalah. Saya tidak pasti...mungkin mereka tidak mahu merayu namun ada baiknya jika Pahang dapat mengemukakan rayuan,” ujarnya.