Skuad kendalian Gareth Southgate kembali kali pertama tahun ini dengan Republik Czech akan menjadi ujian pertama mereka sebelum bertandang ke Montenegro untuk perlawanan kedua.

Selepas sekian lama, England buat kali pertamanya dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan selepas berjaya ke separuh akhir Piala Dunia 2018 selain berjaya menundukkan Sepanyol dan Croatia untuk mara ke final Liga Negara-Negara.

Walaupun ia dilihat sebagai langkah cemerlang buat England namun pemain tengah, Jordan Henderson yakin anak-anak buah Southagte mampu menampilkan aksi lebih baik dalam perlawanan akan datang.

England membariskan pemain-pemain muda seperti Jadon Sancho, Callum Hudson-Odoi dan Declan Rice selain bintang sedia ada termasuk Harry Kane, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Dele Alli.

Sancho mengasah bakatnya bersama Borussia Dortmund selepas meninggalkan Manchester City manakala Hudson-Odoi masih menanti kesebelasan utama sulung Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea.

“Pemain-pemain muda ini berbakat besar dan mereka ini sangat bagus untuk England.

“Saya percaya, dalam beberapa tahun lagi, mereka akan menjadi antara nama-nama besar.

“Masa depan England dilihat sangat baik terutama dengan kehadiran pemain-pemain muda ini dan saya akan cuba menyesuaikan diri dengan cara permainan mereka,” katanya.-AGENSI