Tanpa memperincikan identiti pemain tersebut, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menegaskan, beliau menyambut baik kesediaan agensi berkenaan untuk menyiasat dakwaan itu secepat mungkin yang tular di media sosial selepas kekalahan skuad itu kepada JDT.

“Saya dimaklumkan SPRM ada memanggil beberapa pemain tapi tak tau apa yang mereka soal.

“Itu biasalah bila sudah ada tular tentang isu rasuah jadi hak mereka (SPRM) rasa perlu untuk panggil buat siasatan. Itu hak SPRM.

“Kita (KFA) tak buat tuduhan tapi netizen. Namun berapa ramai yang sudah dipanggil saya tiada maklumat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Chillex MB Kedah Bersama Rakan Media Sosial dan Pengikut Media Sosial di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau isu tersebut diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin demi membersihkan persepsi buruk peminat dan penyokong bola sepak negeri ini terhadap pasukan itu.

“Pemain juga minta jika ada bukti lapor kepada SPRM mereka sedia bagi kerjasama.

“Saya tidak mahu ada persepsi dalam kalangan penyokong jadi SPRM akan siasat dan bersihkan perkara ini. Kita tak mahu tanggapan negatif dalam kalangan penyokong kalau hilang sokongan pemain yang rugi,” katanya.

Dakwaan yang tular di media sosial, sebelum ini mengatakan tujuh pemain skuad Lang Merah disogok RM200,000 seorang pada perlawanan tersebut.