Insiden penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ selain ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara menentang Thailand dalam peringkat kumpulan pada 30 Julai lalu pasti membayangi perlawanan tersebut.

Tindakan penyokong Indonesia itu dilihat sebagai membalas insiden pemain muda negara Amirul Ashrafiq Hanifah meletakkan bendera Indonesia ‘terbalik’ dalam akaun Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya yang mereka anggap sebagai penghinaan.

Namun, Amirul dalam permohonan maafnya secara terbuka menjelaskan bahawa insiden itu bukan provokasi sebaliknya dia tersilap meletakkan bendera Poland.

Walau bagaimanapun, jurulatih skuad bawah 16 negara Raja Azlan Shah Raja Sho’ib percaya anak buahnya tidak akan menghiraukan kejadian itu dan sebaliknya bersedia untuk mengharungi ‘gelora’ yang bakal melanda Stadium Delta Sidoarjo.

Raja Azlan menegaskan, walaupun pihaknya menjangkakan stadium pasti dipenuhi penyokong Indonesia, namun tiada apa yang perlu dibimbangkan dalam hal keselamatan ke­rana yakin dengan jaminan yang telah diberikan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

“Menentang Indonesia, kami akan bermain mengikut kekuatan kami dan bermain seperti biasa tanpa memikirkan masalah di luar padang. Saya percaya pemain kami cukup bersedia untuk perlawanan esok.

“Keselamatan tidak perlu dirisaukan kerana telah mendapat jaminan. Kami akan beri yang terbaik. Cuma sekarang mereka masih muda dan kita perlu beri sokongan moral kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ini kali kedua skuad muda negara berdepan Indonesia dalam separuh akhir selepas skuad B-19 mengalahkan pasukan tuan rumah di stadium sama dalam Kejohanan Bawah 19 AFF pada 13 Julai lalu.

Kekalahan itu sukar diterima penyokong tuan rumah yang membaling batu dan botol ke arah pemain serta pegawai selepas tamat permainan.

Mengulas lanjut, Raja Azlan menjangkakan anak didiknya bakal berdepan provokasi penyokong tuan rumah namun beliau yakin pemainnya mampu menghadapinya serta kekal fokus.