Dengan hanya dapat mengumpul pemain buat kali pertama selain menempuh dua perlawanan persahabatan di Singapura, jurulatih kelahiran Croatia itu sekadar mahu menilai tahap prestasi mereka pada saingan antarabangsa.

“Memandangkan ini kali pertama saya dapat mengumpulkan mereka bersama, saya tidak letak sasaran tertentu kecuali melihat sejauh mana mereka bertindak balas dan buat keputusan lebih cepat atau gagah menangani cabaran antarabangsa.

“Kami akan tahu siapa boleh bermain di tahap tinggi dan siapa tidak. Lebih banyak perlawanan akan diadakan sebagai pendedahan,” katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang hari ini.

Di Fukuoka, mereka dijangka mendapat sekurang-kurangnya lima perlawanan menentang beberapa pasukan akademi terbaik Jepun seperti Tokio FC, Maebashi Iukei dan Ohzu.

Terdahulu skuad yang dibarisi pemain pasukan Piala Presiden dan Belia negeri dan kelab itu berjaya mengikat skuad Bawah 19 (B-19) tahun Singapura 1-1 sebelum menjinakkan kelab Balestier Khalsa 1-0 di republik itu.

Dua anggota skuad ini, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan A. Shivan Pillay turut pernah menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang mara ke suku akhir Kejohanan Bawah 23 (B-23) AFC2018 di China, Januari lalu.

Kata Hodak, Piala Sanix turut menyerapkan dua atau tiga pemain yang terbaik ke dalam skuad Bawah 19 Tahun negara menjelang Kelayakan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Oktober ini.

“Jika mereka dapat buktikan diri yang terbaik dalam kalangan umur ini, mereka akan masuk skuad B-19.

Cuaca sejuk di sana akan berikan pengalaman yang bagus.

“Mungkin ada dua tiga yang berbakat untuk ke Kejohanan AFF (Julai) dan Kelayakan AFC itu,” kata bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan ini.

Hadi yang juga kapten berkata: “Misi kami ialah mendapatkan pengalaman dan pendedahan, berikan saingan dan cuba mara sejauh mungkin.

“Masa latihan persediaannya agak singkat untuk menyesuaikan diri tetapi mungkin dengan dua tiga perlawanan, pasukan ini akan jadi lebih baik, lebih serasi.

Pengalaman dalam Kejohanan B-23 AFC lalu katanya, mungkin mampu banyak membantu dan keutamaan wajar diberikan kepada skuad B-18 ini biarpun dia menaruh hasrat untuk bergelar penjaring terbanyak sekiranya berpeluang.