Jaringan Marcus Rashford dan Ander Herrera menyebabkan Blues hanya dipisahkan dengan empat mata di depan pasukan tangga kedua, Tottenham walaupun memulakan bulan April de­ngan kelebihan 10 mata.

Di atas kertas, Tottenham berdepan lawan yang lebih sukar berbanding Chelsea apabila bakal menentang Arsenal dan Manchester United dalam dua daripada enam perlawanan ter­akhir mereka, selain menentang juara bertahan, Leicester City.

Skuad bimbingan Conte tewas dua daripada empat perlawanan terakhir, termasuk kalah 1-2 kepada Crystal Palace di Stamford Bridge pada 1 April lalu, sekali gus menyebabkan kedudukan mereka yang pada awalnya kukuh kini mulai rapuh.

“Kami kalah dua kali bulan ini, namun kedua-dua perlawanan sangat berbeza.

“Ketika tumpas kepada Palace, kami tidak berhak kalah tetapi hari ini (menentang United) kami memang patut kalah.

“Enam perlawanan kini menanti pasukan, jadi persaingan masih terbuka dan peluang kami untuk menjuarai liga mungkin tinggal 50 peratus. Semua sai­ngan akan kami hadapi ibarat final.

“Tekanan adalah perkara biasa dan saya lebih suka kami diberi tekanan daripada langsung tidak berjuang untuk memburu gela­ran. Musim lalu, Chelsea tidak diberi tekanan dan kami menduduki tangga ke-10,” kata Conte.

Selain bersaing sengit de­ngan Tottenham untuk memburu gelaran liga, Chelsea juga berdepan saingan Spurs dalam Piala FA apabila menentang mereka pada separuh akhir, Sabtu ini.

Sementara itu, pengurus Uni­ted, Jose Mourinho berkata, taktik berisiko membolehkan pasukannya menewaskan Chelsea.

Berdepan bekas kelab bimbi­ngannya, Mourinho merehatkan penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic dan menugaskan Ander Herrera serta Matteo Darmian untuk merantai dua tonggak Blues, Eden Hazard dan Pedro.

“Sebelum perlawanan lagi saya yakin dua pemain ini (Hazard dan Pedro) adalah orang yang akan menentukan permainan. Mereka memainkan peranan di belakang (penyerang) Diego (Costa).

“Kadangkala Hazard atau ada masanya Hazard-Pedro yang mengawal, jadi kalau kami boleh merantai mereka maka kami boleh mengawal permainan,” kata Mourinho ketika dipetik Manchester Evening. – AGENSI