Windsor Paul John
Windsor Paul John

Namun, berita gembira mungkin tidak berpihak kepada skuad Harimau Malaya kerana kekalahan 0-3 yang diberi kepada mereka tidak boleh diubah.

Itu pandangan Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John ketika ditanya peluang yang dimiliki FAM seandainya mengemukakan rayuan kepada FIFA atas hukuman yang diterima ekoran kekecohan yang ditimbulkan penyokong dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi, 8 September lalu.

Kelmarin, FIFA dalam kenyataan rasmi mengumumkan, FAM didenda 40,000 Swiss franc (RM180,000) serta diberi amaran selepas gagal mengawal keadaan ketika penyokong melakukan rusuhan pada perlawanan di Stadium Shah Alam.

Kemenangan 3-0 turut diberikan kepada Arab Saudi, malah skuad negara diarah beraksi dalam stadium kosong apabila menerima kunjungan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 17 November.

“Keputusan 3-0 itu memang sudah tidak boleh buat apa-apa sebab ia keputusan muktamad dan dibuat mengikut keadaan. FAM hanya boleh membuat rayuan terhadap denda jumlah wang yang dikenakan serta beraksi dalam stadium kosong.

“Sebab kenapa dua bentuk hukuman itu boleh dirayu untuk dikurangkan adalah kerana ia dikeluarkan oleh FIFA selepas mereka meneliti laporan yang dihantar oleh FAM.

“Mungkin FIFA boleh denda 40,000, 50,000 atau 30,000 Swiss franc. Berlainan pula dengan kemenangan 3-0 yang diberikan kepada Arab Saudi sebab itu satu ketetapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Windsor turut memberitahu, FAM perlu mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari dan boleh meminta surat secara terperinci mengenai setiap hukuman yang dikenakan ke atas mereka kerana berdasarkan artikel 116 perenggan 2 dan artikel 118 di bawah kod Disiplin FIFA kelonggaran tersebut diberikan kepada setiap pesalah.

“FAM masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada FIFA kerana biasanya semua jenis denda dan hukuman boleh dirayu. Bagaimanapun rayuan haruslah dilakukan dalam tempoh 10 hari bermula hari pertama hukuman itu dijatuhkan kepada FAM.

“Sekiranya FAM mahu mengetahui sebab-sebab keputusan atau hukuman yang dikenakan secara terperinci mereka boleh menghantar surat kepada Jawatankuasa Disiplin FIFA.

“FAM perlu mendapatkan surat perincian mengenai bentuk hukuman yang dikenakan terlebih dahulu supaya memudahkan mereka dalam urusan rayuan kelak.

“Seandainya FAM tidak melakukan sebarang tindakan dalam tempoh 10 hari bermula dari hari pertama hukuman dikenakan maka mereka telah menerima keputusan FIFA,” katanya.

Windsor turut menggesa agar kejadian memalukan seperti ini dipandang serius dan memastikan ia tidak berulang kerana tindakan yang lebih keras boleh dikenakan kepada FAM seandainya pisang berbuah dua kali.

“FAM harus mengambil serius terhadap masalah ini. Denda itu hanya permulaan,” ujarnya.

 

KRONOLOGI ISU FAM

8 September: Penyokong membuat kacau di Stadium Shah Alam dengan membakar suar, mercun dan membaling kerusi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi

9 September: 
FAM diberi surat tunjuk sebab oleh FIFA dan Pesuruhjaya Sukan

18 September: 
FAM balas surat tunjuk sebab FIFA

22 September: 
FAM balas surat tunjuk sebab Pesuruhjaya Sukan

6 Oktober: 
FIFA umumkan denda 40,000 Swiss franc terhadap FAM, Arab Saudi diberi kemenangan 3-0, Malaysia main dalam stadium kosong menentang UAE dan FAM diberi amaran keras