Katanya, Perak menang 2-1 di laman sendiri, manakala JDT menang dengan jaringan yang sama di Larkin ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam kempen Liga Super, sekali gus menjelaskan tiada pasukan yang boleh dianggap pilihan.

“Tiada pasukan favourite (pilihan) sebab ini separuh akhir. Mana-mana pasukan yang dapat menjaringkan gol awal akan menguasai permainan dan berpeluang ke perlawanan akhir.

“Harapan kami dalam perlawanan Ahad ini, apabila sudah sampai ke tahap ini, sudah tentu kami mahu memberikan sesuatu untuk negeri Perak,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Perak di Stadium Perak hari ini.

Menurut Muhd. Shahrom, aksi di laman sendiri bukanlah kelebihan mutlak buat pasukan Perak namun mahu rakan sepasukan mengambil peluang mencari gol untuk bekalan selesa apabila bertandang ke gelanggan lawan dalam perlawanan separuh akhir kedua nanti.

Katanya, Perak sudah bersedia untuk meledak gol dan yang paling penting mengelak gawang sendiri daripada dibolosi gol lawan.

“Perlawanan Ahad ini sudah tentunya perlawanan yang sengit. Untuk menyerap tekanan, saya mahu rakan sepasukan menikmati setiap detik perlawanan.

“Perak sudah agak lama tidak sampa ke tahap ini dan ini merupakan satu pencapaian. Pemain mesti memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE