Skuad Lang Merah seharusnya mampu meraih kemenangan lebih daripada 1-0 ke atas Terengganu yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain di Stadium Darul Aman namun beberapa peluang keemasan itu dipersiakan oleh barisan serangan tuan rumah.

Gol tunggal Kedah dijaringkan menerusi pemain gantian Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-72 yang melakukan rembatan deras selepas menerima umpanan daripada rakan sepasukannya, Ken Ilso.

Biarpun bermain dalam keadaan hujan lebat, Kedah tetap melakukan asakan bertali arus ke kubu pelawat dan serangan terus digandakan selepas pertahanan Terengganu, Adib Aizuddin dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua atas tindakannya mengasari Farhan pada minit ke-78.

Bagaimanapun kecemerlangan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang juga harus diberi pujian kerana memainkan peranan penting buat pasukan pelawat daripada dibolosi dengan jaringan yang banyak.

Sementara itu, gol sendiri pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat yang tertampan rembatan Ashari Samsudin memberi kemenangan 1-0 untuk Tok Gajah ke atas pasukan pelawat di Stadium Darul Makmur.

Menerusi kemenangan tipis itu, anak buah Dollah Salleh memilih laluan sukar untuk ke perlawanan akhir apabila bakal bertandang ke gelanggang lawan untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 13 Mei ini.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan terutama Pahang melalui gandingan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Matheus Alves.

Berbanding Pahang, skuad Hoben Jang Hoben kelihatan agak sukar untuk memecah kubu pertahanan Tok Gajah.