Lebih malang lagi, JDT juga terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Adam Nor Adlin dilayangkan kad merah pada minit ke-78, manakala secara keseluruhan empat lagi kad kuning dikutip skuad Harimau Selatan itu.

Kekalahan ini meletakkan anak-anak buah Raul Longhi pada kedudukan sukar untuk meneruskan kemaraan dan perlu menang besar dalam perlawanan terakhir Kumpulan H apabila menerima kunjungan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di Larkin pada 24 April.

Simic memulakan pesta gol tuan rumah seawal minit kelapan, sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-12 dan 19 untuk membolehkan Persija mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Penyerang kelahiran Croatia itu melengkapkan kemenangan besar pasukannya dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87, sekali gus meletakkan mereka selaku pendahulu kumpulan dengan 10 mata, berkongsi mata bersama Song Lam Nghe An.

Selepas mengharungi lima perlawanan, JDT kini di tangga ketiga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri serta dua kalah. - UTUSAN ONLINE