Pekerman, 69, menggalas tugas berkenaan sejak 2012 dan berjaya membawa Colombia mara ke saingan akhir Piala Dunia.

Jaringan Yerry Mina pada minit terakhir berjaya memastikan Colombia mengikat England 1-1 di peringkat 16 terbaik di Rusia tetapi skuad dari Amerika Selatan itu tersingkir selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti.

“Saya sangat gembira dan saya selalu mahukan yang terbaik untuk pasukan. Harap pasukan akan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Colombia, Ramon Jesurun menghargai sumbangan Pekerman yang disifatkan sebagai sangat membanggakan.

“Selepas berbincang dengan Jose Pekerman, dia menyatakan hasrat untuk tidak lagi memegang jawatan ketua jurulatih. Kami dari FCF begitu berbangga dapat bekerja sama dengan beliau,” ujarnya.

Di bawah kendalian Pekerman, Colombia melangkah ke suku akhir Piala Dunia di Brazil empat tahun lalu, sebelum tumbang kepada tuan rumah.

Mereka juga berada dalam kelompok lapan terbaik Copa Amerika 2015, sebelum menamatkan saingan di tangga ketiga pada saingan berikutnya.

Sebelum ini, Pekerman pernah mengemudi Argentina pada Piala Dunia 2006, dan mereka tewas kepada tuan rumah, Jerman pada saingan suku akhir. – REUTERS