Selepas enam perlawanan musim ini, The Cops tewas lima perlawanan dan hanya berjaya meraih keputusan seri untuk menghuni kedudukan tercorot Liga Perdana.

Elavarasan berkata, untuk menjadi sebuah pasukan yang baik, mereka perlu fokus perlawanan demi perlawanan dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk mencari kemenangan pertama.

“Kalau dilihat sekarang ini, peningkatan dalam pasukan itu memang ada tetapi belum cukup untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat.

“Kami perlu lihat perlawanan demi perlawanan untuk meningkatkan keyakinan pemain selain perlukan kemenangan pertama musim ini,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi sebelum ini, Elavarasan memberitahu, pelbagai faktor menjadi punca kepada kekalahan sesebuah pasukan salah satunya berpunca daripada kepenatan pemain selain hilang fokus terutama pada penghujung permainan.

“Mungkin semasa tewas itu pemain sudah penat, sebab pasukan kebiasaannya menggunakan pemain yang sama selain ada yang sudah mula hilang fokus di penghujung pemainan.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan PDRM tetapi pasukan lain juga mengalami masalah sama,” katanya.

PDRM kini diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain baharu dari Perlis iaitu penjaga gol, Shahril Saari, pemain tengah, Shukor Azmi serta pertahanan berpengalaman, Azmizi Azmi.- UTUSAN ONLINE