Enggan akur dengan keputusan tersebut, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada FAM sebagai tanda tidak puas hati terhadap hukuman berat yang dikenakan terhadap penyerang mereka itu.

“Sudah pasti kami tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan oleh FAM terhadap kami. Perkara itu sudah lama berlaku namun kenapa pengadil perlawanan tersebut baru nak hantar laporan dan FAM pula baru nak buat keputusan.

“Bagi saya digantung lima perlawanan terlalu berat untuk pemain serta pasukan kami sendiri. Tambahan pula ketika ini kami sedang mengharungi kempen Piala Malaysia dan sudah pasti merencatkan persiapan pasukan.

“Apa sebab sampai dia (Norshahrul) dikenakan hukuman sedemikian. Sebelum ini dia telah pun digantung perlawanan. Sudahlah dihukum gantung lima perlawanan kemudian didenda RM2,500. Bagi saya (gantung lima perlawanan) terlalu lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norshahrul atau Mat Yo menerima hukuman penggantungan lima perlawanan serta denda RM2,500 selepas didapati bersalah memijak dengan se­ngaja kaki pemain pertahanan Kedah, Osman Mohd. Yusoff dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada 18 September. Mat Yo turut dilayangkan kad merah akibat insiden itu.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Mat Yo didapati bersalah kerana melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatater­tib FAM 2015, dibaca bersama Artikel 18 perenggan 4 Kod Tatatertib FAM 2015. Bekas penyerang Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Norshahrul telah pun digantung secara automatik daripada menyertai Terengganu menentang Lions XII pada 26 September. Baki empat lagi akan dijalaninya apabila Terengganu menentang Kedah hari ini, bertemu JDT II pada 27 Oktober dan Lions XII (31 Oktober).

Baki satu perlawanan dibawa ke perlawanan rasmi pertama seterusnya sekiranya Terengganu mara ke suku akhir (kedua) Piala Malaysia.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PBNST mahu mengemukakan ra­yuan, Wan Ahmad jelas sudah berpatah arang apabila berkata: “Malas kami nak buat rayuan sebab saya boleh agak bukannya FAM akan kurangkan hukuman tersebut. Tetapi kami akan menghantar surat bantahan kepada mereka, dijangka Isnin ini.”

Terengganu bakal bertemu Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini dalam perlawanan Kumpulan A. Skuad Penyu menduduki anak tangga tercorot kumpulan dengan hanya mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan setelah seri sekali dan tewas dua kali.

Kedah berada di tempat teratas diikuti Lions XII dan JDT II di tempat ketiga.