PBNP dalam kenyataan menerusi akaun Facebook Pahang FA menegaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan berhubung usaha mendapatkan kerakyatan untuk pemain yang berasal dari Gambia itu.

“Pemberian kerakyatan adalah hak mutlak kerajaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” ujar kenyataan itu di sini hari ini.

Sejurus selepas Pahang menumpaskan Negeri Sembilan dalam separuh akhir kedua Piala FA di Seremban baru-baru ini, pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Che Nasir Salleh mendedahkan terdapat usaha memohon kerakyatan Malaysia untuk bekas pemain Perlis itu.

Sebuah portal sukan melaporkan semalam, Che Nasir dipetik sebagai berkata, PBNP sedang melengkapkan dokumen berkaitan bagi membolehkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan pemain yang akan berakhir 11 Jun ini.

Bagaimanapun, Che Nasir memberitahu, cadangan memohon kerakyatan Malaysia untuk Sumareh hanya akan diteruskan sekiranya mendapat persetujuan daripada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mengulas berhubung laporan itu, PBNP menerusi kenyataan yang sama menyifatkan pendedahan dibuat Che Nasir adalah bersifat pandangan peribadi dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan persatuan tersebut.

“Berkaitan kenyataan dibuat pengurus pasukan mengenai status naturalisasi Sumareh adalah pandangan peribadi beliau.

“PBNP ingin melahirkan kekesalan dan akan memanggil beliau untuk (mendapatkan) penjelasan," tambah kenyataan tersebut.