Padang latihan tertutup itu, yang akan menggunakan rumput sintetik, dibina dengan kos RM15 juta yang ditaja oleh syarikat Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH).

Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya berkata, kerja-kerja pembinaan kemudahan berkeluasan 8,000 meter persegi itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya pada November.

Katanya, padang latihan tertutup tersebut yang dilengkapi pelbagai kemudahan sukan dan padang sintetik yang menepati piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Projek pembangunan ini me­rupakan inisiatif Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri yang mahu menaikkan imej bola sepak di negeri ini.

“Dengan adanya padang latihan tertutup ini diharap dapat memberi rangsangan kepada rakyat Johor untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak di peringkat akar umbi selain mencungkil bakat sedia ada,” katanya selepas upacara pecah tanah di sini semalam.

Upacara pecah tanah untuk pem­binaan padang latihan tertutup tersebut di Padang Seri Gelam disem­purnakan oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. Yang turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan IWH, Lim Chen Herng.

Sementara itu, Chen Herng yang juga Ahli Jawatankuasa Exco PBNJ berkata, padang latihan berkenaan yang ditaja sepenuhnya IWH bakal menjadi kebanggaan rakyat Johor kerana yang pertama seumpama­nya di negara ini.

“IWH berbangga dapat memberikan sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat negeri ini yang amat berbangga dengan pasukan bola sepak mereka. Lebih penting lagi, bola sepak berjaya menyatukan rakyat Johor.

“Jumlah kehadiran peminat yang besar ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dan latihan membuktikan betapa bersatunya rakyat Johor. IWH sangat berbangga dapat menyumbang ke arah tujuan yang mulia ini,” katanya.