"Daripada penglihatan saya... pengurus tidak mempercayai saya tanpa mengira bagaimana sekalipun saya bermain. Saya menjaringkan banyak gol dan mencuba yang terbaik pada sesi latihan tetapi tiada apa yang akan merubah fikirannya tentang saya.

"Jadi saya tidak mahu menyambung kontrak yang akan berakhir hujung musim depan dan cuba untuk meninggalkan kelab sebaik pasaran perpindahan musim panas dibuka.

"Sekalipun bila saya bermain baik atau menjaringkan gol, saya tetap tidak mendapat peluang dalam perlawanan seterusnya. Secara jujur, saya sudah bosan duduk di bangku simpanan dan menanti peluang saya,'' kata pemain antarabangsa Rusia itu kepada akhbar harian Sport-Express.

Pavlyuchenko, 29, sudah lama pulih daripada kecederaan kelenjar tetapi masih tidak dipedulikan oleh Redknapp.

"Dalam dua perlawanan terakhir saya benar-benar sihat tetapi masih tidak diberi peluang walaupun kecil, malah ketika pasukan kami dibenam 4-0 oleh Fulham (pusingan kedua Piala FA, minggu lalu),'' ujarnya lagi.

Redknapp bagaimanapun berkata, Pavlyuchenko tidak menyertai skuad dalam kunjungan ke Newcastle, dua minggu lalu kerana tidak cergas.

"Dia cedera ketika kami berkunjung ke Newcastle minggu lalu, dia tidak berasa baik. Dia koyak di kelenjar dan tidak cergas, maka dia tidak boleh bermain.

"Dia berada di bangku simpanan dalam perlawanan berikutnya. Jik amahu berada dalam pasukan, dia perlu bekerja keras kerana kami memiliki tiga penyerang.

"Kalau dia tidak gembira maka dia kena selesaikan dengan pengerusi dan lihat apa yang berlaku. Bukankah ia terserah kepada 'Super' Pav untuk menentukan nasibnya sendiri,'' kata Redknapp merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada penyerang itu.

Pavlyuchenko yang dimasukkan sebagai gantian ketika Tottenham mengalahkan Bolton 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana, Sabtu lalu mengharungi karier bercampur baur di White Hart Lane sejak menyertai kelab itu dari Spartak Moscow pada 2008.

Pada November 2009, dia juga menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kelab itu kerana menghabiskan separuh musim di bangku simpanan. - Reuters