Justeru kata Ketua Jurulatih skuad Perlis Northern Lions 2, Hamizar Hamzah, tidak adil kepada para pemain terbabit yang telah menjejaskan operasi pasukan untuk menuntut gaji.

Katanya lagi, tindakan pemain terbabit berjumpa pihak media dan menyalahkan pihak pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) disifatkan tidak adil kerana banyak perkara yang sebenar tidak didedahkan.

“Saya telah beri nasihat dan pandangan kepada pemain supaya bertemu dan bersemuka dengan presiden PFA untuk menyelesaikan perkara ini dan bukan melalui media sosial atau arus perdana.

“Tetapi nampaknya mereka lebih gemar berjumpa media dan bukannya menghadiri latihan seperti mana tertera di dalam kontrak para pemain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini, melaporkan nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang diibarat gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan.

Kesemua mereka sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Para pemain juga sedia maklum perlu menjalani latihan di ibu negara bermula 2 Januari lalu bagaimanapun mereka tidak dapat hadir kerana ketiadaan wang untuk menampung kos perjalanan dan penginapan.

Sementara itu, Hamizar berkata, semua pemain Piala FAM 2018 itu telah ditawarkan kontrak bersama Perlis Northern Lions 2 dan telah memulakan latihan pada 19 Disember tahun lalu di Kangar.

Katanya, komitmen pemain yang turun pada hari pertama latihan itu hanya 60 peratus sebelum mereka dimaklumkan mengenai sesi latihan yang diadakan di Kuala Lumpur selepas itu.

“Mereka kemudian diarahkan melapor diri pada 2 Januari bagaimanapun gagal hadir. Pihak pengurusan masih bersabar pada masa itu dan memberi tempoh seminggu iaitu pada 9 Januari untuk turun latihan, tetapi masih gagal hadir.

“Sehingga hari ini iaitu 16 Januari, hanya tiga daripada 35 skuad Piala FAM 2018 yang melaporkan diri. Tindakan itu menyebabkan kita terpaksa mencari pemain baharu bagi menggantikan mereka yang seolah-olah memboikot sesi latihan," katanya. - UTUSAN ONLINE